|
MAKALAH
Kedudukan
Ilmu Falak dalam Islam
Makalah : Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, Pusat Islam,
Malaysia.
Diposting oleh
:
admin
Pada 23 Maret 2009
1. Pendahuluan:
1.1.
Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah kerana dapat bersama-sama
tuan-tuan pada hari ini untuk membincangkan permasalahan ilmu falak dalam
seminar yang amat penting ini.
1.2. Di akhir-akhir ini ternampak jelas kebangkitan semula kesedaran di
kalangan umat Islam khususnya di kalangan para intelek tentang pentingnya
pengetahuan ilmu falak di kalangan umat Islam lebih-lebih lagi dengan adanya
kerjasama yang bersepadu di antara tokoh-tokoh Falak Syarie dengan
tokoh-tokoh astronomi. Ini adalah suatu perkembangan baik bukan sahaja
kepada perkembangan ilmu falak tetapi juga kepada perkembangan Islam ke
seluruhannya. Kerjasama dan hubungan rapat di kalangan pakar-pakar Islam
dalam berbagai-bagai bidang dengan para ulamak adalah suatu perkara yang
amat penting dalam perkembangan Islam.
1.3. Kertas kerja yang ringkas ini adalah semata-mata sebagai sumbangan bagi
menunjukkan sokongan yang kuat Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana
Menteri kepada usaha mengadakan seminar ini. Kertas kerja ini tentulah amat
dangkal dan cetek sekali tetapi dari segi moralnya ia mempunyai significant
tertentu.
2. Islam dan Ilmu Falak:
2.1. Sebagaimana kita semua
maklum bahawa Islam adalah Agama ilmu pengetahuan . Penurunan wahyu Al-
Quran adalah sesuatu proses 'taklim' kepada manusia di mana ayat-ayat
Al-Quran adalah memberi berbagai ilmu pengetahuan kepada manusia sejagat.
Disamping mempunyai ilmu yang berkaitan dengan Akidah dan Syariah al-Quran
juga mempunyai penerangan asas berkenaan berbagai-bagai ilmu sains
termasuklah Ilmu Sains Bintang atau Astronomi atau juga disebut ilmu falak.
Di samping itu kejadian alam oleh Allah s.w.t. adalah mengandungi kaedah
saintifik yang memerlukan kajian yang mendalam oleh manusia Allah sentiasa
menggalakkan umatnya berfikir dan mengkaji isi alam ini bukan sahaja untuk
kegunaan hidup mereka tetapi bagi menambahkan lagi keyakinan kepada Allah
s.w.t.
3. Ilmu Falak dan
Sejarahnya:
3.1. Ilmu falak dikenali
umum sebagai Ilmu Kaji Bintang atau Ilmu Astronomi, perkataan Falak bererti
jalan peredaran yakni peredaran bintang-bintang. Dalam surah Yaasin ayat 40
disebut bahawa: "(Dengan ketentuan yang diberikan oleh Allah) Matahari tidak
mudah baginya mengejar bulan dan malam pula tidak dapat mendahului siang
kerana tiap-tiap satunya beredar terapong-apong di tempat edarannya
masing-masing".
3.2. Pada zaman dahulu ilmu falak dikenali juga dengan Ilmu Nujum yang
digunakan bagi maksud meneka berlakunya satu-satu peristiwa atau nasib. Di
kalangan Sarjana Islam, Ilmu Bintang dibahagi kepada dua bahagian iaitu:
1) Ilmu Tabie (sains) yang
membincangkan kedudukan bintang-bintang, pergerakannya dan ketentuan-
ketentuan gerhana matahari dan bulan.
2) Ilmu yang membincangkan perhubungan pergerakan bintang-bintang dengan
kelahiran, kematian, kebahagiaan dan kecelakaan , hujan, kesihatan dan
lain-lain.
Ilmu yang pertama tadi dinamakan ilmu falak (Astronomi) dan ilmu yang kedua
dinamakan Ilmu Astrologi (tanjim). Secara umum ilmu falak boleh diertikan
sebagai ilmu yang membicarakan tentang matahari dan bintang-bintang yang
beredar tentang besar kecilnya, tentang jauh dekatnya daripada matahari atau
juga tentang cakerawala-cakerawala langit, tarikan-tarikannya, kedudukan
pergerakannya dan lain-lain fenomena yang berkaitan.
3.3. Orang-orang Arab pada
zaman dahulu telahpun mengetahui kedua-dua bidang ilmu ini sejak zaman
Jahiliah lagi. Mereka memperolehi ilmu ini dari Greek, Parsi, India dan
Kaldan. Kemudian ilmu ini diwariskan kepada orang-orang Islam kemudiannya.
3.4. Umat Islam mula terlibat secara aktif dibidang Ilmu Sains termasuk ilmu
falak pada zaman Kerajaan Umaiyah dan Abbasiah. Di zaman Umaiyah tokoh ilmu
falak yang terkenal ialah Khalid bin Yazid Al- Amawi (meninggal 85H). Beliau
adalah dikenali dengan nama Hakim Ali Marwan. Beliau dianggap orang pertama
yang menterjemahkan buku-buku termasuk buku-buku mengenai ilmu Bintang pada
pertengahan kurun ke-4 Hijrah didapati dalam Perpustakaan Kaherah sebuah
globe dari tembaga karya Batlamus yang ditulis kata-kata bahawa globe itu
disediakan untuk Khalid bin Yazid. Menurut sarjana sejarah iaitu Al-Mas'udi
bahawa Khalifah al-Malik bin Marwan sangat gemar kepada ilmu bintang
sehingga semasa berperang dibawa bersamanya ahli ilmu bintang. Di zaman
Abbasiah, Khalifah Abu Jaffar Al-Mansor adalah khalifah yang pertama memberi
perhatian kepada kajian Ilmu Falak. Baginda mengeluarkan banyak belanja
untuk memulakan penyelidikan dalam bidang ilmu falak. Baginda mengumpulkan
nama sarjana falak yang terkenal di istana Baginda. Dalam pembinaan Kota
Baghdad baginda melantik seorang ahli falak bernama Naubakh sebagai Ketua
Perancang Projek itu.
3.5. Seterusnya
perkembangan kajian ilmu falak berkembang pada zaman khalifah Al-Mansor.
Usaha menterjemahkan buku Sdihanta dari bahasa Sanskrit ke Bahasa Arab
dilakukan oleh Mohammad Al- Fazari yang kemudian ia diberi jodol
"Al-Sindhindin Al-Kabir". Buku ini menjadi panduan utama kepada orang-orang
arab dalam mengkaji ilmu falak hingga ke zaman Al-Makmun. Mohammad Al-
Fazari merupakan orang Islam yang pertama mencipta astrolabe (jam matahari
untuk mengukur tinggi dan jarak bintang). Buku ini telah disalin ke bahasa
Latin pada abad pertengahan oleh Johannes de Luna Hispakusis. Buku
terjemahan ini telah digunakan oleh universiti-universiti Eropah untuk
mengejar IlmuBintang. Dari sinilah orang-orang Barat mula mengetahui
benda-benda di cakerawala.
3.6. Antara tokoh-tokoh Ilmu Falak Islam di zaman Abbasiah ialah Abu Sahl
bin Naubakh, Ali bin Isa dan Masyaallah yang dikenali sebagai Phoenix pada
zamannya. Dalam projek pembinaan Kota Baghdad telah didirikan sebuah
'observatorium' (balai cerapan). Di zaman Al-Makmun telah muncul ramai
sarjana-sarjana Falak antaranya Thabit bin Qurrah, Al-Battani dan Muhammad
bin Musa al-Khawarizmi. Di zaman Al-Makmun juga telah didirikan sebuah
'observatorium' yang digunakan untuk mengukur daya cahaya rebang matahari.
Di zamannya juga Ahli Falak berjaya mengukur longkaran bumi sebuah
'observatorium' yang didirikan di Bukit Gaisun di Damsyek. Di zamannya juga
observatorium juga didirikan di Bukit Qaisun. Di Damsyik. Di zamannya juga
telah diterjemahkan Alomagest karangan mengenai Ptolemeus ke bahasa Arab.
Ahli Falak Islam juga telah mengamati equinox, gerhana bintang berekor
(comet) dan lain-lain gejala di langit.
3.7. Di samping itu
Al-Battani (mati kira-kira 930M/317H) telah melakukan penyelidikan tentang
perbintangan sejak tahun 877 hingga 918M dan bukunya yang telah disalin ke
bahasa Latin disusun semula dalam bahasa Arab oleh Nallino (tahun 1903M).
Al-Battani telah membahagikan sehari kepada 12 jam yang digunakan sekarang
oleh tukang-tukang jam di Eropah. Beliau juga telah berjaya mengira setahun
bersamaan dengan 356 hari, 5 jam 46 saat dan 24 secant iaitu kurang dalam
pengiraan sekarang sebanyak 2 saat 23 secant. Al-Battani menduduki tempat
tertinggi di kalangan Ahli Bintang dan dikatakan peranannya di kalangan umat
Islam sama dengan peranan Ptolemeus di kalangan orang-orang
Yahudi. Di zaman-zaman seterusnya lahir tokoh-tokoh Islam yang meneruskan
kajian-kajian yang dilakukan oleh al-Battani dan tokoh-tokoh lain dan telah
menghasilkan berbagai-bagai kejayaan kepada Ilmu Falak.
3.8. Tokoh-tokoh Ilmu
Falak yang terkenal pada kurun ke-7 Hijrah ialah Nasiruddin al-Tusi yang
hidup di zaman Hulagu Khan seorang Raja Monggol. Al-Biruni (362H-442H) pula
merupakan seorang ahli Falak yang terkenal di zaman Sultan Mahmud
al-Ghaznawi. Beliau telah meninggalkan berbagai-bagai hasil karya yang
antara al-Athar al-Baqiah) (yang diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh Dr.
Sachan. Di zaman Kerajaan Turki Saljuk telah muncul seorang sarjana Falak
terkenal iaitu Umar al-Khayyam. Kawannya ialah Abdul Rahman al-Hazimi.
Sebenarnya kemasyhuran sarjana-sarjana Falak Islam merebak setiap sudut
alam. Mereka menjadi tempat rujuk ilmu Falak. Wilayah Islam yang menjadi
tumpuan rujukan Eropah ialah wilayah Andalus (Sepanyol) kerana berdekatan
dengan mereka.
3.9. Fakta-fakta di atas
dicatatkan di sini adalah semata-mata untuk menunjukkan betapa umat Islam di
zaman kegemilangan, telah menumpukan tenaga yang banyak untuk menguasai
ilmu-ilmu sains yang hasilnya telah dirasai oleh seluruh umat manusia.
Kejayaan mereka itu adalah menunjukkan betapa Islam telah menjadi suatu
sumber utama bukan sahaja dari segi panduan hidup tetapi juga dari segi
penerokaan Ilmu Pengetahuan. Inilah semangat yang hendak dibangkitkan semula
di kalangan kita umat Islam.
4. Hubungan Amalan
Agama Islam Dengan Falak:
4.1. Sudah jelas juga
kepada kita bahawa kebanyakkan amalan-amalan dalam Agama kita khususnya
amalan-amalan ibadat adalah terikat dengan waktu-waktu atau masa-masa yang
ditetapkan oleh Allah. Umpamanya Sembahyang. Ia mempunyai waktu-waktu
tertentu dalam sehari semalam sebagai contoh, Allah telah menetapkan bahawa:
"Sesungguhnya Sembahyang itu adalah suatu ketetapan yang diwajibkan atas
orang-orang yang beriman tertentu waktunya". (An-Nisa ayat 103) demikian
juga Puasa, Pembayaran Zakat Fitrah, Ibadat Haji dan sebagainya.
4.2. Di samping itu Allah
juga telah menetapkan bilangan bulan pada sisiNya 12 bulan (Al-Taubah ayat
36). Contoh-contoh di atas menunjukkan bahawa umat Islam tidak terlepas
daripada tanggungjawab mengetahui waktu-waktu untuk menunaikan kewajipan
yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. Jadi sudah jelas bahawa pengetahuan ilmu
Falak termasuk ilmu Miqat mesti dimiliki oleh umat Islam berdasarkan
keperluan tersebut, pelajaran Ilmu Falak atau Miqat adalah menjadi Fardu
Kifayah.
5. Ilmu Falak Dan Pengajarannya Di Sekolah Agama:
5.1. Atas kesedaran bahawa
ilmu mengetahui waktu atau ilmu Miqat yang menjadi sebahagian daripada ilmu
Falak adalah suatu Fardu Kifayah kepada orang Islam maka pelajaran Ilmu
Falak atau Miqat telah diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi.
Ilmu Falak di Malaysia di abad moden ini boleh dikatakan dipelopori oleh
Sheikh Tahir Jalaludin (Perak) yang mempelajarinya dari Timur Tengah. Di
samping itu terdapat juga tokoh-tokoh lain yang mempelajarinya Ilmu Falak
dari Mekah seperti Sheikh Abdullah Fahim (Pulau Pinang) dan ramai lagi
tokoh-tokoh lain dipelusok negara termasuklah di Kelantan, Terengganu, Kedah
dan lain-lain. Ilmu ini diperturunkan oleh tokoh-tokoh tersebut kepada murid
mereka yang kemudiannya diperturunkan kepada murid masing-masing melalui
pengajian Sekolah Pondok atau Sekolah Agama. Sheikh Tahir Jalaluddin telah
berjaya melahirkan seorang murid yang mempunyai reputasi tinggi dalam Ilmu
Falak iaitu Tuan Haji Mohd. Khair bin Hj. Mohd. Taib (Perak).
5.2. Sebagai gambaran
sepintas lalu mengenai kedudukan pengajian ilmu Falak ini, bolehlah dilihat
contoh di Kelantan. Dalam sistem Pengajian Agama di Sekolah-sekolah Agama di
Kelantan, pelajaran Miqat telah dimulakan di Maahad Muhammadi, Kota Bharu
mulai tahun 1937. Ia diajar mulai kelas Ibtadai (Menengah rendah) hingga
Ikdadi (menengah) tetapi tidak diajar diperingkat Menengah Tinggi kecuali
atas usaha individu masing-masing. Pelajaran Miqat juga dalam dekad tiga
puluhan hingga enam puluhan telah diajar di merata-rata Sekolah Agama Rakyat
di seluruh Kelantan. Kaedah yang digunakan umumnya ialah dengan menggunakan
kayu robo'. Tetapi kemudiannya buku teks telah disediakan oleh Majlis Agama
Islam Kelantan yang mengandungi jadual-jadual dan sifir-sifir bagi pengiraan
ilmu Falak.
5.3. Namun begitu ilmu
Falak tidak mempunyai tarikan yang kuat untuk dipelajari kerana ianya tidak
dianggap sebagai mata pelajaran utama. Ini oleh kerana dalam konsep
Pengajian Agama yang digunakan ia bukanlah cabang ilmu Syariat atau
Usuluddin atau ilmu alat. Miqat atau Falak lebih merupakan ilmu Sains
sebagaimana sains yang lain. Oleh sebab itulah pada tahun 1970 apabila
kurikulum baru Sekolah- sekolah Agama di bawah Yayasan Pelajaran Islam
Kelantan diperkenalkan pada tahun tersebut maka Pelajaran Miqat tidak
dimasukkan. Tambahan pula waktu pelajaran telah menjadi sedikit dengan
berrtambahnya mata pelajaran akademik dalam kurikulum tersebut.
5.4. Contoh yang berlaku
di Kelantan ini nampaknya berlaku juga di negeri-negeri lain. Akibatnya
generasi baru pelajar-pelajar Sekolah Agama umumnya telah menjadi buta Falak
yakni ilmu tersebut telah menjadi asing kepada mereka.
6. Penggunaan Ilmu
Falak Di Negara Ini:
6.1. Sebagaimana yang
disebutkan di atas bahawa amalan-amalan Islam khususnya Amalan Ibadat adalah
ditetapkan dalam waktu-waktu tertentu oleh Allah s.w.t. Maka mahu tidak mahu
pengetahuan mengenai waktu mesti ada pada umat Islam. Dalam hal ini, yang
amat jelas ialah cara penetapan permulaan tarikh Puasa dan Hari Raya iaitu
yang didasarkan kepada Rukyah dan Hisab.
6.2. Walau bagaimanapun umat Islam hanya bertaklid dalam hal ini di mana apa
yang ditetapkan oleh pakar-pakar ilmu Falak dalam menentukan tarikh-tarikh
tersebut juga waktu-waktu sembahyang umpamanya terpaksa diikut sahaja kerana
mereka tidak memahaminya. Jadual waktu sembahyang adalah ditetapkan melalui
hisab falak.
7. Langkah-langkah Yang
Telah Diambil:
7.1. Memandangkan bahawa
ilmu Falak adalah sebahagian daripada ilmu Islam dan warisan budaya umat
Islam zaman berzaman maka beberapa pihak khususnya Bahagian Hal Ehwal Islam,
Jabatan Perdana Menteri dan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan
Malaysia telah mengambil tindakan yang positif bagi mengembangkan ilmu ini.
Universiti Kebangsaan Malaysia telah melantik Tuan Haji Mohd. Khair bin Hj.
Mohd. Taib sebagai Karyawan Tamu dari tahun 1981 hingga tahun 1984 dan Pusat
Islam telah memulakan kursus Falak Syarie pada 21 Mei 1979 sebagai satu
modiul Institut Dakwah dan Latihan Islam (INDAH) dengan menggunakan tenaga
Tuan Haji Mohd. Khair bin Haji Mohd. Taib sepenuhnya.
Kursus ini kemudiannya dibahagi kepada tiga peringkat iaitu:
a. Kursus Asas Falak
Syarie.
b. Kursus Asas Amali Falak.
c. Kursus Lanjutan Falak.
Tempoh kursus-kursus di
atas antara seminggu hingga tiga minggu para peserta terdiri dari Pegawai
Agama di negeri-negeri, guru-guru agama dan pensyarah Maktab Perguruan
Islam. Di Maktab Perguruan Islam, kursus Falak adalah sebahagian mata
pelajaran Tamaddun Islam.
7.2. Dalam satu tahun
INDAH berjaya mengadakan tiga siri kursus dalam bentuk asas dan lanjutan
dengan bilangan peserta antara 20 hingga 50 orang pada setiap siri. Bagi
kursus asas ia berlangsung selama 1 minggu dan Kursus Lanjutan selama tiga
minggu. Method kursus ialah syarahan dan kajian, latihan amali, Muzakarah
lawatan dan tayangan filem. Sehingga kini INDAH telah melahirkan seramai 432
orang peserta. Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam, Universiti
Kebangsaan Malaysia telah mengambil langkah terus menerus bagi melahirkan
Ahli Falak yang berwibawa. Persatuan Falak Syarie yang ditubuhkan pada 1
Muharram 1402H bersamaan 7 Oktober 1983 adalah lahir bagi tenaga Fakulti
tersebut.
8. Langkah-langkah Yang
Perlu Diambil:
8.1. Matlamat utama
gerakan menghidupkan semula pelajaran ilmu Falak di Sekolah-sekolah Agama
dan di Institusi-institusi Pengajian adalah untuk melahirkan satu Kumpulan
Pelajar Islam yang mempunyai pengetahuan asas mengenai ilmu Falak. Ini
adalah satu cara untuk melahirkan generasi Islam yang mempunyai pengetahuan
bersepadu. Kaedah bersepadu ini adalah satu kaedah yang merujuk kepada zaman
kegemilangan Islam di mana sebahagian tokoh-tokoh sains adalah juga tokoh
Agama dan begitulah juga sebaliknya.
8.2. Dalam hal ini satu
langkah yang perlu diambil oleh pihak berkuasa Sekolah-sekolah Agama seperti
Jabatan Agama Islam Negeri atau Yayasan Pendidikan Islam yang
bertanggungjawab mengendalikan hal ehwal Sekolah-sekolah Agama supaya
memasukkan semula mata pelajaran ilmu Falak ke dalam kurikulum
Sekolah-sekolah tersebut. Satu skim latihan kepada guru-guru Falak hendaklah
diadakan bagi
tujuan ini. Kursus ini mungkin boleh diadakan di Maktab Perguruan Islam.
8.3. Satu bidang yang
perlu ditingkatkan ialah kerjasama yang erat di antara tokoh-tokoh astronomi
dengan tokoh-tokoh Falak Syarie. Ini adalah satu langkah yang amat baik bagi
menyelaraskan hasil-hasil kajian dan penentuan sesuatu perkara yang
berkaitan dengan Falak. Antara tujuan kerjasama ini juga ialah supaya
sebarang keputusan mengenai Falak hendaklah dirujuk kepada sumber-sumber
Islam dan juga sebarang keputusan tersebut seharusnya berada di tangan orang
Islam.
8.4. Pihak Kerajaan perlu
memberi galakan yang kuat ke arah memajukan ilmu Falak. Jaminan YB Timbalan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Yusof Noor bahawa sebuah
Planetorium yang akan didirikan di Bangi Selangor di sebuah tapak yang akan
disumbangkan oleh NADI (Nadwah Akedemik Islam). Adalah satu petanda baik ke
arah kemajuan dan perkembangan ilmu Falak di negara ini. Dengan terdirinya
planetorium diharap akan menguatkan minat umat Islam dibidang ini demi akan
mengembalikan zaman kegemilangan ilmu Falak sebagaimana kegemilangannya di
zaman Pemerintahan Baghdad di mana beberapa buah 'obervatorium' (balai
cerapan) telah didirikan di beberapa daerah Islam pada masa itu.
9. Kesimpulan:
Sebagai kesimpulannya
bolehlah dirumuskan bahawa:-
1. Ilmu Falak adalah Ilmu Fardu Kifayah dalam Islam tetapi ia lebih hampir
dengan Ilmu-ilmu Fardu Ain kerana hubungannya yang rapat dengan
penentuan-penentuan waktu ibadat dan sebagainya.
2. Ilmu Falak seharusnya dijadikan satu pelajaran asas di Sekolah Agama
berdasarkan sifatnya yang berkait rapat dengan ilmu-ilmu Fardu Ain tersebut.
Oleh kerana ilmu Falak adalah satu cabang sains, ia boleh menolong para
pelajar memahami beberapa bidang sains.
3. Usaha haruslah dimulakan dari sekarang bagi memasukkan semula pelajaran
ilmu Falak ke dalam kurikulum Sekolah Agama dan Maktab Perguruan.
4. Usaha-usaha yang dijalankan oleh Pusat Islam, Jabatan Syariah, Universiti
Kebangsaan Malaysia dan Persatuan Falak Syarie Malaysia haruslah diberi
sokongan yang kuat supaya usaha ini dapat mencapai matlamatnya.
10. Penutup:
Memang sudah jelas kepada kita bahawa kedudukan ilmu Falak dalam penghidupan
umat Islam adalah amat penting kerana ianya berkait langsung dengan amal
Ibadat dalam Agama Islam. Dari kesedaran inilah diharapkan seminar pada hari
ini dapat merumuskan beberapa tindakan bagi menentukan pengajaran ilmu Falak
di kalangan umat Islam dan di Sekolah-sekolah dapat dilaksanakan.
Tarikh: 27hb. Jun, 1986 |